Wednesday, 20 May 2015

PENGGUNAAN ICT DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PELAJAR)

1.0       PENGENALAN

Pendidikan Matematik telah di ajar kepada pelajar sejak dari pra sekolah lagi. Oleh itu, pendidikan subjek ini adalah penting bagi setiap pelajar. Mereka harus mempunyai asas yang kukuh sekiranya ingin mempunyai pencapaian yang baik apabila telah memasuki alam universiti. Dalam memperkukuh kefahaman pelajar, guru harus memain peranan dalam mendidik pelajar terutamanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru harus mempelbagaikan gaya pengajaran mereka supaya pelajar lebih menumpukan perhatian sekaligus mempertingkat pencapaian mereka.
            Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) atau multimedia dalam bidang pendidikan bukanlah sesuatu yang baru. Kebiasaannya penggunaan ICT ini banyak diterapkan dalam pendidikan sains dan matematik. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan akan menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengupaya utama dalam proses pengajaran dan pembelajaraan. Langkah ini meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.
            Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggariskan tiga dasar utama ICT dalam pendidikan. Dasar tersebut ialah pelajar memperoleh kemahiran menggunakan kemudahan ICT, mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai kurikulum dan alat PdP dan yang ketiga menekanan penggunaan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan system pengurusan.
            Pada pembentangan yang lepas, saya dan ahli kumpulan saya telah ditugaskan untuk membentangkan tajuk ICT dalam Pendidikan Matematik. Kami telah membahagikan tajuk ini kepada tiga aspek iaitu pentadbiran sekolah, guru dan pelajar. Berdasarkan aspek ini, kami telah mengupas beberapa kajian lepas serta mengenalpasti beberapa  isu berkaitan. Saya telah dipilih untuk mengupas isu dan kajian lepas berkaitan penggunaan ICT dalam PdP Matematik bagi pelajar.
            ICT dalam pendidikan bermaksud menggunakan ict secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru harus merancang sebaiknya bagaimana hendak mewujudkan satu proses PdP yang melibatkan ICT supaya lebih berkesan dan memastikan objektif tercapai.

2.0       SOROTAN KAJIAN

Terdapat beberapa kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan ICT dalam PdP Matematik yang melibatkan aspek pelajar. Kajian-kajian ini membantu saya dalam mencari idea berkaitan tajuk yang telah dibentangkan.
Azura Ishak dan rakan-rakan (2009) telah membuat kajian yang mengenai perbandingan pengajaran berasaskan multimedia dan tradisional ke atas pencapaian matematik dan sikap matematik di kalangan pelajar berisiko. Dapatan kajian tersebut telah mendapati terdapat peningkatan pencapaian pelajar berisiko setelah mengikuti kelas berasaskan multimedia berbanding tradisional. Kaedah tradisional terlalu kerap digunakan dan tidak mampu merangsang serta menarik minat pelajar.
Pelajar zaman kini lebih terdedah dengan gajet-gajet terkini seperti telefon pintar dan laptop. Mereka lebih teruja apabila dapat menggunakannya. Sekiranya guru memperkenalkan kaedah penggunaan ICT dalam kelas, mereka akan rasa teruja dan berminat untuk menumpukan perhatian. Jika dibandingkan dengan kaedah tradisional, kaedah pengajaran ini lebih dekat dengan pelajar atau pengajaran dua hala. Pelajar berisiko selalunya mempunyai pelbagai aktiviti di luar waktu persekolahan antaranya melepak sepanjang malam. Oleh itu, mereka akan lebih berasa mengantuk sewaktu persekolahan. Jika guru masih menggunakan kaedah lama atau tutur kata, pelajar akan tertidur sepanjang sesi PdP kerana kaedah ini melibatkan interaksi sehala sahaja iaitu pengajaran berpusatkan guru.
Kajian yang telah dijalankan oleh Noor Mazlan Ahmad Zanzali dan Noraziah binti Kassim@Aziz (2010) telah mendapati beberapa kepentingan ICT dalam PdP Matematik. Antara kepentingannya ialah kaedah akan lebih menarik minat pelajar kerana isi kandungannya terdapat banyak animasi yang dipaparkan. Pelajar akan dapat melihat gambaran sebenar bagaimana sesuatu konsep itu berlaku. Walau bagaimanapun, tidak semua topik dalam subjek ini sesuai dengan kaedah pengajaran berkonsepkan ICT. Subjek yang mempunyai jalan kira yang panjang contoh soalan Algebra yang rumit. Dalam hal ini, kaedah kapur dan tutur lebih berkesan kerana jalan kira tersebut harus diterangkan satu persatu supaya pelajar lebih faham.
Kajian Luhan dan rakan-rakan (2013) telah mendapati bahawa penggunaan ICT dalam PdP membantu pelajar dalam meningkatkan kreativiti. Pembelajaran ini juga merupakan pembelajaran berpusatkan pelajar yang mana pelajar sendiri akan menentukan gaya pembelajaran yang berkesan dengan diri sendiri. Guru hanya akan menjadi pemantau terutamanya dalam menjaga kawalan kelas. Kawalan kelas amat penting dalam menjalankan PdP yang melibatkan aktiviti pelajar. Ini kerana jika guru tidak dapat mengawal kelas dengan baik, pelajar akan bermain-main seterusnya tidak dapat mencapai objektif pembelajaran.

3.0       KEPENTINGAN ICT DALAM PDP MATEMATIK

Seperti dapatan kajian-kajian lepas, penggunaan ICT dalam PdP Matematik mempunyai banyak kepentingan terhadap pelbagai aspek. Kepentingan pertama ialah meningkatkan kefahaman sesuatu konsep dan memberi gambaran visual terhadap sesuatu topik. Contohnya bagi topik Penjelmaan bagi tingkatan dua. Topik tersebut melibatkan konsep translasi, putaran dan pantulan bagi sesuatu objek. Topik ini juga merupakan topik yang baru bagi pelajar. Oleh itu, pelajar tidak dapat menggambarkan dengan jelas bagaimana konsep itu berlaku. Terdapat laman-laman internet yang menyediakan perisian ‘online’ yang bagus untuk membantu para guru dalam membantu pelajar mendapat gambaran yang jelas terhadap topik yang dipelajari. Laman web tersebut akan memaparkan bagaimana pergerakan translasi, putaran dan pantulan tersebut dan ada juga yang menyediakan permainan bagi mencetus idea pelajar terhadap sesuatu topik yang baru bagi mereka.
            Selain itu, penggunaan ICT dalam PdP Matematik juga membantu murid dalam proses penyelesaian masalah dengan cepat dan tepat. Selalunya guru akan memberi pelbagai latihan untuk dibawa balik rumah terutamanya sewaktu cuti penggal dan hujung minggu. Kebanyakkan pelajar mempunyai masalah dalam menyelesaikan soalan-soalan yang ditugaskan terutama soalan yang sukar. Oleh itu, dengan adanya pendedahan penggunaan ICT ketika PdP Matematik, pelajar akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi soalan yang sukar tersebut di dalam internet. Laman web seperti Youtube banyak menayangkan video-video berkaitan konsep Matematik. Boleh dikatakan semua video berkaitan topik dalam silibus Matematik ada dalam laman tersebut. Pelajar hanya perlu menaip kata kunci yang berkaitan bagi mencari apa-apa yang diperlukan bagi membantu pelajar. Video ini juga boleh diulang tayang jika pelajar masih lagi tidak faham. Oleh itu, pelajar akan dapat menyiapkan tugasan yang diberi dengan mudah dan tepat tanpa perlu menunggu sesi persekolahan dibuka. Pelajar tersebut juga boleh mengajar pelajar yang lain jika ada pelajar yang tidak dapat menyelesaikan. Seterusnya pelajar tersebut dapat memperkukuh pengetahuan yang telah diperoleh.
            Penggunaan ICT dalam PdP Matematik juga dapat membantu murid mendapat dan mengumpul maklumat yang mungkin sukar diperoleh dalam keadaan biasa. Sumber maklumat yang terdapat dalam bilik darjah adalah terhad. Sekiranya guru ingin mengadakan sebarang aktiviti yang melibatkan maklumat yang banyak, pelajar akan sukar untuk mencarinya. Oleh itu, guru harus mencari alternatif lain dalam PdP mereka. Cadangan saya ialah dengan membawa pelajar tersebut ke makmal komputer bagi memperluaskan sumber maklumat pelajar seperti mana yang kita tahu bahawa internet merupakan dunia tanpa sempadan.
            Penggunaan ICT dalam PdP Matematik banyak kelebihan terhadap pelajar. Guru harus merancang sebaik mungkin perjalanan kelas supaya kelebihan tersebut dapat dimanfaatkan bersama.

4.0       ISU ICT DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK

Seperti mana yang kita tahu, konsep ICT adalah melibatkan kemudahan-kemudahan masa kini. Contohnya komputer dan telefon pintar. Pembelajaran ini juga membenarkan para pelajar untuk mencari atau menentukan gaya pembelajaran mereka sendiri yang berkonsepkan ICT semasa PdP serta proses ulang kaji di rumah. Sewaktu dalam kelas, guru boleh memantau setiap perlakuan pelajar,namun guru mendapat masalah untuk memantau pelajar ketika pelajar di rumah, Semenjak Malaysia mengalami arus permodenan yang drastik, statistik telah mendapati jenayah laman sosial kini semakin meningkat dari semasa ke semasa. Jenayah ini juga tidak lepas dari melibatkan pelajar sekolah yang masih tidak tahu apa-apa.
            Para pelajar zaman kini lebih suka melayari laman-laman web yang tidak sepatutnya contohnya laman sosial Facebook, twitter dan Instagram. Melalui laman web sperti ini, mereka mudah ini berkenalan dengan sesiapa sahaja. Ini sangat membahayakan golongan pelajar kerana mereka masih muda dan suka untuk mencuba sesuatu yang baru. Golongan pelajar merupakan tumpuan bagi warga asing dalam sindiket yang berbahaya contohnya penjualan dadah dan organ manusia. Mereka hanya perlu menawarkan habuan yang lumayan bagi pelajar. Oleh itu, pelajar akan mudah terpengaruh untuk menyertai sindiket ini. Gelaja maksiat juga akan berlaku dan lebih teruk lagi ialah kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Sesetengah pelajar akan mudah mempercayai pasangan mereka yang hanya dikenali dalam alam maya dan akhirnya berakhir dengan kejadian yang tidak diingini.
            Cadagan bagi membanteras penyalahgunaan ICT dalam kehidupan ini ialah dengan mewujudkan hubungan yang rapat di antara guru dan ibu bapa pelajar. Kebanyakkan ibu bapa zaman kini terlalu sibuk dengan kerjaya mereka sehinggakan anak mereka terabai. Oleh itu, jika wujud hubungan ini, guru dapat saling memperingat ibu bapa tersebut dalam memantau aktiviti anak-anak mereka. Pemantauan ibu bapa terhadap penggunaan ICT pelajar tidaklah terlalu ketat dan mengakibatkan pelajar akan memberontak tetapi penggunaan ICT terhadap laman sosial di kawal dan dilebihkan kepada laman web yang berilmiah.

5.0       PENUTUP

Seperti perkara dalam kehidupan kita mempunyai kepentingan dan kekurangan. Begitu juga dengan penggunaan ICT dalam PdP. Namun, pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam mendidik pelajar kini harus memain peranan masing-masing supaya keberkesanan pengunaan ICT dalam PdP dapat dioptimumkan. Pelajar juga harus tahu untuk membanding beza perkara yang baik dan tidak demi pencapaian akademik mereka. Mereka harus memanfaatkan setiap kepentingan penggunaan ICT dalam pembelajaran mereka supaya dapat mempertingkatkan pencapaian akademik mereka.Seterusnya dapat melahirkan modal insan kelas pertama sejajar dengan hasrat Negara kita.




            

PENGGUNAAN ICT DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (GURU)

1.0  Pengenalan

Pada era globalisasi ini, penggunaan ICT dalam bidang pendidikan bukan lagi perkara yang luar biasa. Bahkan guru-guru sangat digalakkan mengunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tetapi apakah itu ICT? Mengapakah guru-guru digalakkan menggunakan ICT dalam pengajaran? ICT, singkatan bagi Information and Communication Technologies merupakan bermaksud apa-apa sahaja kemudahan mahupun peralatan yang digunakan bagi memproses dan menyampaikan sesuatu informasi. ICT terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu teknologi komunikasi dan  teknologi informasi. Teknologi informasi merupakan teknologi-teknologi  yang merangkumi  segala hal yang berkaitan dengan proses, penggunaan sebagai alat bantu, manipulasi, dan pengelolaan informasi. Manakala teknologi komunikasi merupakan teknologi-teknolgi yang digunakan sebagai medium untuk memproses dan menyampaikan sesuatu maklumat kepada orang lain. Antara contoh ICT yang sering digunakan dalam bidang pendidikan termasuklah komputer riba, projektor, radio, dan perisian-perisian yang semakin pesat dibangunkan.
            Manakala bagi persoalan kedua, guru digalakkan menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka memandangkan penggunaan ICT ini membawa banyak kebaikan. Pertamanya, penggunaan ICT dapat menarik minat pelajar dan dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih ceria. Lazimnya, pelajar akan tertarik dengan perkara-perkara yang baru diperkenalkan kepada mereka. Jadi penggunaan ICT ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelajar. Namun penggunaan ICT juga harus dipelbagaikan bagi menggelakkan pelajar menjadi bosan. Selain itu, penggunaan ICT juga dapat membantu pelajar memahami sesuatu konsep dengan baik. Seperti yang diketahui, sesetengah konsep sukar dijelaskan terutama sesuatu yang tidak dapat dilihat dalam kehidupan seharian pelajar. Jadi penggunaan ICT secara tidak langsung dapat membantu pelajar menerangkan konsep-konsep tersebut.
Memandangkan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran memberi banyak kebaikan, maka pelbagai program telah dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi memenuhi keperluan pendidikan sekarang yang sangat mementingkan penggunaan ICT. Salah satu program yang dilaksanakan oleh pihak kementerian adalah sekolah bestari. Program sekolah bestari merupakan suatu sistem pendidikan yang mana proses pengajaran dan pembelajaran lebih ke arah intelek pelajar dengan menggunakan teknologi  sebagai modul penggerak utama. Oleh itu, penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan jantung bagi sekolah bestari. Visi utama sekolah bestari adalah untuk melahirkan tenaga kerja yang cekap teknologi dan berfikir seiring dengan kecanggihan zaman teknologi maklumat.

2.0              Penggunaan ICT Dalam Matematik

Seperti yang telah dibincangkan di atas, penggunaan ICT semakin mendapat sambutan dalam pendidikan di Malaysia. Dalam bidang pendidikan matematik sendiri, penggunaan ICT dapat membantu guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan lancar. Terdapat pelbagi teknologi yang dapat digunakan oleh guru matematik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bagi matapelajaran matematik, teknologi yang sering digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah kalkalatur saintifik. Boleh dikatakan guru akan menggunakan kalkalatur sebagai bahan bantu mengajar bagi setiap sesi pengajaran dan pembelajaran matematik terutamanya bagi kelas menengah atas. Selain penggunaan kalkalatur saintifik, guru juga boleh menggunakan sempoa untuk membantu pelajar melakukan kira-kira. Penggunaan sempoa bukan sahaja dapat membantu pelajar untuk melakukan kira-kira malahan dapat memperkenalkan pelajar dengan teknologi lama. Namun penggunaan sempoa ini kurang sesuai untuk pelajar sekolah menengah memandangkan silibus bagi sekolah menengah lazimnya melibatkan pengiraan yang kompleks.
            Selain kalkalatur dan sempoa, guru juga boleh menggunakan pelbagai perisian sebagai bahan bantu mengajar. Salah satu perisian yang popular dalam kalangan guru matematik adalah perisian Microsoft Excel. Perisian ini boleh digunakan oleh guru untuk memperkenalkan pelbagai jenis graf kepada pelajar. Selain itu, perisian ini juga dapat membantu guru dalam topik statistik. Pelajar dapat mempelajari cara memasukkan data dan menganalisis data menggunakan min, mod, sisihan piawai dan lain-lain lagi. Selain penggunaan microsoft excel, terdapat pelbagai perisian lain yang dapat digunakan dalam matapelajaran matematik. Perisian-perisian tersebut termasuklah:
    (a)            Microsoft Powerpoint
Microsoft Powerpoint merupakan salah satu perisian yang boleh digunakan bagi membantu guru menyediakan nota dalam bentuk tayangan kepada pelajar. Tayangan ini boleh disertakan dengan gambar, video, bunyi dan animasi. Penggunaan Microsoft powerpoint sedikit sebanyak dapat menarik minat pelajar dan memudahkan pemahaman pelajar memandangkan nota yang disediakan tidak kaku.

   (b)            Geometer’s Sketch Pad (GSP)
GSP merupakan satu perisian yang digunakan bagi mereka bentuk, menerokai dan menganalisis konsep matematik yang luas dalam bidang algebra, geometri, trigonometri, kalkalus dan lain-lain bidang.

    (c)            Perisian Authorware
Perisian Authorware merupakan perisian yang dapat membantu pengguna membentuk sesuatu gambar rajah. Contohnya bagi topik geometri, guru boleh mnggunakan perisian ini untuk memperkenalkan bentuk-bentuk geometri kepada pelajar.


3.0              Tahap Kesediaan Guru Matematik Menggunakan ICT Dalam PdP

Guru merupakan penggerak utama dalam merealisasikan pendidikan berteraskan teknologi ini. Oleh itu, golongan guru seharusnya bersedia dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menggunakan teknologi agar dapat diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan bagi menilai tahap kesediaan guru matematik dalam menggunakan ICT.
Salah satunya adalah kajian yang telah dijalankan oleh Md. Nor Bakar dan Rashita A. Hadi. Md. Nor Bakar dan Rashita A (2011). Hadi telah mengkaji tahap pengetahuan guru-guru matematik dalam penggunaan teknologi di Daerah Kota Tinggi. Dalam kajian ini, kedua-dua pengkaji telah mengkaji objektif utama penggunaan teknologi, kursus-kursus yang dihadiri guru dan keberkesanan kursus yang dihadiri. Berdasarkan kajian tersebut, pengkaji mendapati bahawa kebanyakkan guru mempunyai objektif utama menggunakan teknologi untuk mendapatkan maklumat, analisis data dan menyampaikan maklumat. Selain itu, guru-guru didapati jarang menggunakan teknologi bagi tujuan berdiskusi dan menyerlahkan penulisan.
Manakala bagi kursus-kursus yang dihadiri oleh guru di daerah kajian, pengkaji mendapati bahawa kebanyakan guru hanya menghadiri kursus untuk kemahiran asas penggunaan teknologi sahaja. Hanya segelintir guru menghadiri kursus-kursus yang berkaitan perisian dan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Hal ini dapat dilihat melalui analisis soal selidik yang telah dijalankan. Melalui analisis tersebut, kursus yang guru hadiri bagi pengenalan komputer, MS Excel, MS Powerpoint dan pelajaran internet mempunyai nilai peratusan yang tinggi. Manakala bagi kursus MS Acces, pembangunan perisian pendidikan dan aplikasi perisian pendidikan peratusan dihadiri oleh guru adalah rendah.
            Borang soal selidik yang diedarkan turut digunakan bagi mengenalpasti keberkesanan kajian yang dihadiri oleh guru. Berdasarkan analisis yang dijalankan, didapati bahawa kursus-kursus yang dihadiri kurang berkesan memandangkan purata min bagi setiap item adalah rendah. Item yang dikaji termasuklah masa yang diberikan, jumlah sesi kursus dijalankan, perkaitan dengan pengajaran, pantauan yang dijalankan selepas kajian dan keberkesanan dalam meningkatkan kebolehan dan kemahiran penggunaan teknologi guru.
            Melalui kajian, didapati bahawa kesediaan guru matematik di daerah batang kali dalam penggunaan teknologi dalam proses PdP masih di tahap yang lemah. Oleh itu, tindakan drastik perlu diambil oleh pihak kementerian, pihak sekolah dan guru sendiri bagi mengatasi kekurangan ini agar penggunaan ICT dalam PdP matematik dapat dipertingkatkan.  

4.0              Tahap Penggunaan ICT Oleh Guru Matematik

Dalam kajian yang sama juga, Md. Nor Bakar dan Rashita A (2011). Hadi telah mengkaji tahap penggunaan ICT dalam proses PdP bagi guru matematik di daerah yang sama. Dalam kajian ini, didapati guru matematik jarang menggunakan ICT ketika menjalankan proses PdP. Berdasarkan analisis yang dijalankan, nilai min bagi setiap item berada pada nilai yang rendah iaitu bawah 3. Item-item yang kaji termasuklah aktiviti pembentangan ataupun penghasilan projek, penggunaan perisian latihan atau toturial, penggunaan perisian aplikasi matematik, penggunaan internet ketika proses PdP dan pangkalan data.
Penggunaan ICT dalam PdP matematik bukan sahaja terbukti rendah dalam kajian yang dijalankan oleh Md. Nor Bakar dan Rashita A. Hadi (2011). Malahan keputusan yang sama diperolehi oleh Noor Azlan Ahmad Zanzali dan Noraziah Kassim (2010) yang menjalankan kajian ke atas lima orang guru pelatih UTM. Berdasarkan pemerhatian dan temubual yang telah dilakukan oleh pengkaji, didapati bahawa guru-guru pelatih UTM tidak gemar menggunakan ICT dalam proses PdP bagi matapelajaran matematik. Menurut guru-guru pelatih tersebut, terdapat banyak masalah dan kekangan yang dihadapi untuk menggunakan ICT dalam proses PdP.
Namun kajian yang dijalankan oleh Abdul Razak Idris dan Daniel Chan (2010) menunjukkan keputusan yang berbeza. Dalam kajian ini, Abdul Razak Idris dan Daniel Chan mengkaji persepsi guru terhadap ICT, pengetahuan guru tentang ICT dan tahap penggunaan ICT guru. Bagi aspek persepsi guru terhadap penggunaan ICT, kajian menunjukkan guru mempunyai persepsi yang baik terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran mereka. Mereka berpendapat bahawa penggunaan ICT memudahkan mereka dan mereka yakin untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka. Selain itu, mereka juga bersetuju bahawa penggunaan ICT dapat menarik minat pelajar. Manakala bagi pengetahuan guru tentang ICT, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menggunakan ICT dan mereka juga berminat untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai penggunaan ICT. Namun begitu masih terdapat segelintir guru yang ragu-ragu untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka. Akhir sekali, kira-kira 90 peratus guru yang dijadikan responden menggunakan perisian yang telah dibekalkan oleh kementerian. Guru-guru ini juga menunjukkan minat yang tinggi untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka.
Berdasarkan kajian yang telah dibincangkan, didapati bahawa terdapat guru matematik yang tidak berminat untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka dan terdapat juga guru yang berminat untuk menggunakan ICT dalam pengajaran. Situasi ini mungkin disumbangkan oleh faktor dalaman guru sendiri dan juga faktor persekitaran.

5.0              Kekangan-Kekangan Yang Dihadapi Oleh Guru
Berdasarkan beberapa kajian yang telah diteliti, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh guru dalam menggunakan ICT dalam proses PdP. Antaranya adalah kajian yang telah dijalankan oleh Noor Mazlan Ahmad Zanzali dan Noraziah Kassim (2010). Dalam kajian tersebut, guru-guru pelatih yang dijadikan responden menyatakan mereka menghadapi dua masalah utama dalam menggunakan ICT dalam pengajaran mereka. Masalah pertama adalah dari aspek masa. Mereka menyatakan bahawa banyak masa dibazirkan untuk menunggu pelajar bergerak ke makmal dan kadang-kala persediaan peralatan dan perkakas mengambil masa yang lama. Selain itu, mereka juga menghadapi masalah dalam aspek kemudahan. Masalah kemudahan ini terjadi apabila peralatan yang diperlukan tiada ataupun rosak. Bilik multimedia yang terhad juga menjadi satu kekangan kepada guru-guru pelatih ini untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka.
            Seterusnya, menurut Johari Hassan dan Siti Norazlina Kamisan (2010) penyebab utama guru tidak menggunakan ICT dalam pengajaran mereka adalah terdapatnya kekangan masa. Berdasarkan kajian yang dijalankan, respon yang hampir sama dengan yang dijalankan oleh Noor Mazlan Ahmad Zanzali dan Noraziah Kassim (2010) diterima. Responden menyatakan mereka kekurangan masa untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka. Selain itu, pengkaji juga mendapati bahawa guru jarang menggunakan ICT dalam pengajaran mereka kerana kemahiran mereka menggunakan ICT berada di tahap yang rendah. Hal ini berlaku memandangkan guru-guru tersebut tidak mendapat latihan yang secukupnya. Pengkaji juga mendapati bahawa terdapat segelintir guru tidak berminat untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka. Hal ini dapat disimpulkan bahawa guru mempunyai sikap yang negatif terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran. Pada dasarnya, minat dan sikap guru terhadap penggunaan ICT merupakan kekangan utama dalam mengintegrasikan penggunaan ICT dalam pengajaran.

Tuesday, 19 May 2015

VIDEO BERKAITAN TAJUK PEMBENTANGAN



VIDEO 1 : ICT IN TEACHING





VIDEO 2 : THE HISTORY OF TECHNOLOGY IN EDUCATION




VIDEO 3 : TIMSS




VIDEO 4 : KBAT




VIDEO 5: PETA PEMIKIRAN (i-THINK)

Tuesday, 12 May 2015

SME3023 Trend and Issues in Education for Mathematical Sciences







Assalamualaikum and Hello,

This blog was created for to share on the issue that occur in Education of Mathematical Sciences. Some of the issues are related to TIMSS, PISA and HOTS.