Wednesday, 20 May 2015

PENGGUNAAN ICT DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PELAJAR)

1.0       PENGENALAN

Pendidikan Matematik telah di ajar kepada pelajar sejak dari pra sekolah lagi. Oleh itu, pendidikan subjek ini adalah penting bagi setiap pelajar. Mereka harus mempunyai asas yang kukuh sekiranya ingin mempunyai pencapaian yang baik apabila telah memasuki alam universiti. Dalam memperkukuh kefahaman pelajar, guru harus memain peranan dalam mendidik pelajar terutamanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru harus mempelbagaikan gaya pengajaran mereka supaya pelajar lebih menumpukan perhatian sekaligus mempertingkat pencapaian mereka.
            Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) atau multimedia dalam bidang pendidikan bukanlah sesuatu yang baru. Kebiasaannya penggunaan ICT ini banyak diterapkan dalam pendidikan sains dan matematik. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan akan menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengupaya utama dalam proses pengajaran dan pembelajaraan. Langkah ini meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.
            Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggariskan tiga dasar utama ICT dalam pendidikan. Dasar tersebut ialah pelajar memperoleh kemahiran menggunakan kemudahan ICT, mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai kurikulum dan alat PdP dan yang ketiga menekanan penggunaan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan system pengurusan.
            Pada pembentangan yang lepas, saya dan ahli kumpulan saya telah ditugaskan untuk membentangkan tajuk ICT dalam Pendidikan Matematik. Kami telah membahagikan tajuk ini kepada tiga aspek iaitu pentadbiran sekolah, guru dan pelajar. Berdasarkan aspek ini, kami telah mengupas beberapa kajian lepas serta mengenalpasti beberapa  isu berkaitan. Saya telah dipilih untuk mengupas isu dan kajian lepas berkaitan penggunaan ICT dalam PdP Matematik bagi pelajar.
            ICT dalam pendidikan bermaksud menggunakan ict secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru harus merancang sebaiknya bagaimana hendak mewujudkan satu proses PdP yang melibatkan ICT supaya lebih berkesan dan memastikan objektif tercapai.

2.0       SOROTAN KAJIAN

Terdapat beberapa kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan ICT dalam PdP Matematik yang melibatkan aspek pelajar. Kajian-kajian ini membantu saya dalam mencari idea berkaitan tajuk yang telah dibentangkan.
Azura Ishak dan rakan-rakan (2009) telah membuat kajian yang mengenai perbandingan pengajaran berasaskan multimedia dan tradisional ke atas pencapaian matematik dan sikap matematik di kalangan pelajar berisiko. Dapatan kajian tersebut telah mendapati terdapat peningkatan pencapaian pelajar berisiko setelah mengikuti kelas berasaskan multimedia berbanding tradisional. Kaedah tradisional terlalu kerap digunakan dan tidak mampu merangsang serta menarik minat pelajar.
Pelajar zaman kini lebih terdedah dengan gajet-gajet terkini seperti telefon pintar dan laptop. Mereka lebih teruja apabila dapat menggunakannya. Sekiranya guru memperkenalkan kaedah penggunaan ICT dalam kelas, mereka akan rasa teruja dan berminat untuk menumpukan perhatian. Jika dibandingkan dengan kaedah tradisional, kaedah pengajaran ini lebih dekat dengan pelajar atau pengajaran dua hala. Pelajar berisiko selalunya mempunyai pelbagai aktiviti di luar waktu persekolahan antaranya melepak sepanjang malam. Oleh itu, mereka akan lebih berasa mengantuk sewaktu persekolahan. Jika guru masih menggunakan kaedah lama atau tutur kata, pelajar akan tertidur sepanjang sesi PdP kerana kaedah ini melibatkan interaksi sehala sahaja iaitu pengajaran berpusatkan guru.
Kajian yang telah dijalankan oleh Noor Mazlan Ahmad Zanzali dan Noraziah binti Kassim@Aziz (2010) telah mendapati beberapa kepentingan ICT dalam PdP Matematik. Antara kepentingannya ialah kaedah akan lebih menarik minat pelajar kerana isi kandungannya terdapat banyak animasi yang dipaparkan. Pelajar akan dapat melihat gambaran sebenar bagaimana sesuatu konsep itu berlaku. Walau bagaimanapun, tidak semua topik dalam subjek ini sesuai dengan kaedah pengajaran berkonsepkan ICT. Subjek yang mempunyai jalan kira yang panjang contoh soalan Algebra yang rumit. Dalam hal ini, kaedah kapur dan tutur lebih berkesan kerana jalan kira tersebut harus diterangkan satu persatu supaya pelajar lebih faham.
Kajian Luhan dan rakan-rakan (2013) telah mendapati bahawa penggunaan ICT dalam PdP membantu pelajar dalam meningkatkan kreativiti. Pembelajaran ini juga merupakan pembelajaran berpusatkan pelajar yang mana pelajar sendiri akan menentukan gaya pembelajaran yang berkesan dengan diri sendiri. Guru hanya akan menjadi pemantau terutamanya dalam menjaga kawalan kelas. Kawalan kelas amat penting dalam menjalankan PdP yang melibatkan aktiviti pelajar. Ini kerana jika guru tidak dapat mengawal kelas dengan baik, pelajar akan bermain-main seterusnya tidak dapat mencapai objektif pembelajaran.

3.0       KEPENTINGAN ICT DALAM PDP MATEMATIK

Seperti dapatan kajian-kajian lepas, penggunaan ICT dalam PdP Matematik mempunyai banyak kepentingan terhadap pelbagai aspek. Kepentingan pertama ialah meningkatkan kefahaman sesuatu konsep dan memberi gambaran visual terhadap sesuatu topik. Contohnya bagi topik Penjelmaan bagi tingkatan dua. Topik tersebut melibatkan konsep translasi, putaran dan pantulan bagi sesuatu objek. Topik ini juga merupakan topik yang baru bagi pelajar. Oleh itu, pelajar tidak dapat menggambarkan dengan jelas bagaimana konsep itu berlaku. Terdapat laman-laman internet yang menyediakan perisian ‘online’ yang bagus untuk membantu para guru dalam membantu pelajar mendapat gambaran yang jelas terhadap topik yang dipelajari. Laman web tersebut akan memaparkan bagaimana pergerakan translasi, putaran dan pantulan tersebut dan ada juga yang menyediakan permainan bagi mencetus idea pelajar terhadap sesuatu topik yang baru bagi mereka.
            Selain itu, penggunaan ICT dalam PdP Matematik juga membantu murid dalam proses penyelesaian masalah dengan cepat dan tepat. Selalunya guru akan memberi pelbagai latihan untuk dibawa balik rumah terutamanya sewaktu cuti penggal dan hujung minggu. Kebanyakkan pelajar mempunyai masalah dalam menyelesaikan soalan-soalan yang ditugaskan terutama soalan yang sukar. Oleh itu, dengan adanya pendedahan penggunaan ICT ketika PdP Matematik, pelajar akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi soalan yang sukar tersebut di dalam internet. Laman web seperti Youtube banyak menayangkan video-video berkaitan konsep Matematik. Boleh dikatakan semua video berkaitan topik dalam silibus Matematik ada dalam laman tersebut. Pelajar hanya perlu menaip kata kunci yang berkaitan bagi mencari apa-apa yang diperlukan bagi membantu pelajar. Video ini juga boleh diulang tayang jika pelajar masih lagi tidak faham. Oleh itu, pelajar akan dapat menyiapkan tugasan yang diberi dengan mudah dan tepat tanpa perlu menunggu sesi persekolahan dibuka. Pelajar tersebut juga boleh mengajar pelajar yang lain jika ada pelajar yang tidak dapat menyelesaikan. Seterusnya pelajar tersebut dapat memperkukuh pengetahuan yang telah diperoleh.
            Penggunaan ICT dalam PdP Matematik juga dapat membantu murid mendapat dan mengumpul maklumat yang mungkin sukar diperoleh dalam keadaan biasa. Sumber maklumat yang terdapat dalam bilik darjah adalah terhad. Sekiranya guru ingin mengadakan sebarang aktiviti yang melibatkan maklumat yang banyak, pelajar akan sukar untuk mencarinya. Oleh itu, guru harus mencari alternatif lain dalam PdP mereka. Cadangan saya ialah dengan membawa pelajar tersebut ke makmal komputer bagi memperluaskan sumber maklumat pelajar seperti mana yang kita tahu bahawa internet merupakan dunia tanpa sempadan.
            Penggunaan ICT dalam PdP Matematik banyak kelebihan terhadap pelajar. Guru harus merancang sebaik mungkin perjalanan kelas supaya kelebihan tersebut dapat dimanfaatkan bersama.

4.0       ISU ICT DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK

Seperti mana yang kita tahu, konsep ICT adalah melibatkan kemudahan-kemudahan masa kini. Contohnya komputer dan telefon pintar. Pembelajaran ini juga membenarkan para pelajar untuk mencari atau menentukan gaya pembelajaran mereka sendiri yang berkonsepkan ICT semasa PdP serta proses ulang kaji di rumah. Sewaktu dalam kelas, guru boleh memantau setiap perlakuan pelajar,namun guru mendapat masalah untuk memantau pelajar ketika pelajar di rumah, Semenjak Malaysia mengalami arus permodenan yang drastik, statistik telah mendapati jenayah laman sosial kini semakin meningkat dari semasa ke semasa. Jenayah ini juga tidak lepas dari melibatkan pelajar sekolah yang masih tidak tahu apa-apa.
            Para pelajar zaman kini lebih suka melayari laman-laman web yang tidak sepatutnya contohnya laman sosial Facebook, twitter dan Instagram. Melalui laman web sperti ini, mereka mudah ini berkenalan dengan sesiapa sahaja. Ini sangat membahayakan golongan pelajar kerana mereka masih muda dan suka untuk mencuba sesuatu yang baru. Golongan pelajar merupakan tumpuan bagi warga asing dalam sindiket yang berbahaya contohnya penjualan dadah dan organ manusia. Mereka hanya perlu menawarkan habuan yang lumayan bagi pelajar. Oleh itu, pelajar akan mudah terpengaruh untuk menyertai sindiket ini. Gelaja maksiat juga akan berlaku dan lebih teruk lagi ialah kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Sesetengah pelajar akan mudah mempercayai pasangan mereka yang hanya dikenali dalam alam maya dan akhirnya berakhir dengan kejadian yang tidak diingini.
            Cadagan bagi membanteras penyalahgunaan ICT dalam kehidupan ini ialah dengan mewujudkan hubungan yang rapat di antara guru dan ibu bapa pelajar. Kebanyakkan ibu bapa zaman kini terlalu sibuk dengan kerjaya mereka sehinggakan anak mereka terabai. Oleh itu, jika wujud hubungan ini, guru dapat saling memperingat ibu bapa tersebut dalam memantau aktiviti anak-anak mereka. Pemantauan ibu bapa terhadap penggunaan ICT pelajar tidaklah terlalu ketat dan mengakibatkan pelajar akan memberontak tetapi penggunaan ICT terhadap laman sosial di kawal dan dilebihkan kepada laman web yang berilmiah.

5.0       PENUTUP

Seperti perkara dalam kehidupan kita mempunyai kepentingan dan kekurangan. Begitu juga dengan penggunaan ICT dalam PdP. Namun, pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam mendidik pelajar kini harus memain peranan masing-masing supaya keberkesanan pengunaan ICT dalam PdP dapat dioptimumkan. Pelajar juga harus tahu untuk membanding beza perkara yang baik dan tidak demi pencapaian akademik mereka. Mereka harus memanfaatkan setiap kepentingan penggunaan ICT dalam pembelajaran mereka supaya dapat mempertingkatkan pencapaian akademik mereka.Seterusnya dapat melahirkan modal insan kelas pertama sejajar dengan hasrat Negara kita.




            

No comments:

Post a Comment