PENGGUNAAN ICT DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (GURU)
1.0 Pengenalan
Pada
era globalisasi ini, penggunaan ICT dalam bidang pendidikan bukan lagi perkara
yang luar biasa. Bahkan guru-guru sangat digalakkan mengunakan ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Tetapi apakah itu ICT? Mengapakah guru-guru digalakkan
menggunakan ICT dalam pengajaran? ICT, singkatan bagi Information and Communication Technologies merupakan bermaksud
apa-apa sahaja kemudahan mahupun peralatan yang digunakan bagi memproses dan
menyampaikan sesuatu informasi. ICT terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu
teknologi komunikasi dan teknologi
informasi. Teknologi informasi merupakan teknologi-teknologi yang merangkumi segala hal yang berkaitan dengan proses,
penggunaan sebagai alat bantu, manipulasi, dan pengelolaan informasi. Manakala
teknologi komunikasi merupakan teknologi-teknolgi yang digunakan sebagai medium
untuk memproses dan menyampaikan sesuatu maklumat kepada orang lain. Antara
contoh ICT yang sering digunakan dalam bidang pendidikan termasuklah komputer
riba, projektor, radio, dan perisian-perisian yang semakin pesat dibangunkan.
Manakala bagi persoalan kedua, guru
digalakkan menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka
memandangkan penggunaan ICT ini membawa banyak kebaikan. Pertamanya, penggunaan
ICT dapat menarik minat pelajar dan dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang
lebih ceria. Lazimnya, pelajar akan tertarik dengan perkara-perkara yang baru
diperkenalkan kepada mereka. Jadi penggunaan ICT ini secara tidak langsung
dapat menarik minat pelajar. Namun penggunaan ICT juga harus dipelbagaikan bagi
menggelakkan pelajar menjadi bosan. Selain itu, penggunaan ICT juga dapat
membantu pelajar memahami sesuatu konsep dengan baik. Seperti yang diketahui,
sesetengah konsep sukar dijelaskan terutama sesuatu yang tidak dapat dilihat
dalam kehidupan seharian pelajar. Jadi penggunaan ICT secara tidak langsung
dapat membantu pelajar menerangkan konsep-konsep tersebut.
Memandangkan
penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran memberi banyak
kebaikan, maka pelbagai program telah dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi
memenuhi keperluan pendidikan sekarang yang sangat mementingkan penggunaan ICT.
Salah satu program yang dilaksanakan oleh pihak kementerian adalah sekolah
bestari. Program sekolah bestari merupakan suatu sistem pendidikan yang mana
proses pengajaran dan pembelajaran lebih ke arah intelek pelajar dengan
menggunakan teknologi sebagai modul
penggerak utama. Oleh itu, penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan
pembelajaran merupakan jantung bagi sekolah bestari. Visi utama sekolah bestari
adalah untuk melahirkan tenaga kerja yang cekap teknologi dan berfikir seiring
dengan kecanggihan zaman teknologi maklumat.
2.0
Penggunaan
ICT Dalam Matematik
Seperti
yang telah dibincangkan di atas, penggunaan ICT semakin mendapat sambutan dalam
pendidikan di Malaysia. Dalam bidang pendidikan matematik sendiri, penggunaan
ICT dapat membantu guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan
baik dan lancar. Terdapat pelbagi teknologi yang dapat digunakan oleh guru
matematik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bagi matapelajaran
matematik, teknologi yang sering digunakan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran adalah kalkalatur saintifik. Boleh dikatakan guru akan menggunakan
kalkalatur sebagai bahan bantu mengajar bagi setiap sesi pengajaran dan pembelajaran
matematik terutamanya bagi kelas menengah atas. Selain penggunaan kalkalatur
saintifik, guru juga boleh menggunakan sempoa untuk membantu pelajar melakukan
kira-kira. Penggunaan sempoa bukan sahaja dapat membantu pelajar untuk
melakukan kira-kira malahan dapat memperkenalkan pelajar dengan teknologi lama.
Namun penggunaan sempoa ini kurang sesuai untuk pelajar sekolah menengah
memandangkan silibus bagi sekolah menengah lazimnya melibatkan pengiraan yang
kompleks.
Selain kalkalatur dan sempoa, guru
juga boleh menggunakan pelbagai perisian sebagai bahan bantu mengajar. Salah
satu perisian yang popular dalam kalangan guru matematik adalah perisian Microsoft
Excel. Perisian ini boleh digunakan oleh guru untuk memperkenalkan pelbagai
jenis graf kepada pelajar. Selain itu, perisian ini juga dapat membantu guru
dalam topik statistik. Pelajar dapat mempelajari cara memasukkan data dan
menganalisis data menggunakan min, mod, sisihan piawai dan lain-lain lagi.
Selain penggunaan microsoft excel, terdapat pelbagai perisian lain yang dapat
digunakan dalam matapelajaran matematik. Perisian-perisian tersebut
termasuklah:
(a)
Microsoft Powerpoint
Microsoft
Powerpoint merupakan salah satu perisian yang boleh digunakan bagi membantu
guru menyediakan nota dalam bentuk tayangan kepada pelajar. Tayangan ini boleh
disertakan dengan gambar, video, bunyi dan animasi. Penggunaan Microsoft
powerpoint sedikit sebanyak dapat menarik minat pelajar dan memudahkan
pemahaman pelajar memandangkan nota yang disediakan tidak kaku.
(b)
Geometer’s Sketch Pad (GSP)
GSP
merupakan satu perisian yang digunakan bagi mereka bentuk, menerokai dan
menganalisis konsep matematik yang luas dalam bidang algebra, geometri,
trigonometri, kalkalus dan lain-lain bidang.
(c)
Perisian Authorware
Perisian
Authorware merupakan perisian yang dapat membantu pengguna membentuk sesuatu
gambar rajah. Contohnya bagi topik geometri, guru boleh mnggunakan perisian ini
untuk memperkenalkan bentuk-bentuk geometri kepada pelajar.
3.0
Tahap
Kesediaan Guru Matematik Menggunakan ICT Dalam PdP
Guru
merupakan penggerak utama dalam merealisasikan pendidikan berteraskan teknologi
ini. Oleh itu, golongan guru seharusnya bersedia dan mempunyai kemahiran yang
tinggi dalam menggunakan teknologi agar dapat diaplikasikan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan
bagi menilai tahap kesediaan guru matematik dalam menggunakan ICT.
Salah
satunya adalah kajian yang telah dijalankan oleh Md. Nor Bakar dan Rashita A.
Hadi. Md. Nor Bakar dan Rashita A (2011). Hadi telah mengkaji tahap pengetahuan
guru-guru matematik dalam penggunaan teknologi di Daerah Kota Tinggi. Dalam
kajian ini, kedua-dua pengkaji telah mengkaji objektif utama penggunaan
teknologi, kursus-kursus yang dihadiri guru dan keberkesanan kursus yang
dihadiri. Berdasarkan kajian tersebut, pengkaji mendapati bahawa kebanyakkan
guru mempunyai objektif utama menggunakan teknologi untuk mendapatkan maklumat,
analisis data dan menyampaikan maklumat. Selain itu, guru-guru didapati jarang
menggunakan teknologi bagi tujuan berdiskusi dan menyerlahkan penulisan.
Manakala
bagi kursus-kursus yang dihadiri oleh guru di daerah kajian, pengkaji mendapati
bahawa kebanyakan guru hanya menghadiri kursus untuk kemahiran asas penggunaan
teknologi sahaja. Hanya segelintir guru menghadiri kursus-kursus yang berkaitan
perisian dan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Hal ini dapat dilihat
melalui analisis soal selidik yang telah dijalankan. Melalui analisis tersebut,
kursus yang guru hadiri bagi pengenalan komputer, MS Excel, MS Powerpoint dan
pelajaran internet mempunyai nilai peratusan yang tinggi. Manakala bagi kursus
MS Acces, pembangunan perisian pendidikan dan aplikasi perisian pendidikan
peratusan dihadiri oleh guru adalah rendah.
Borang soal selidik yang diedarkan
turut digunakan bagi mengenalpasti keberkesanan kajian yang dihadiri oleh guru.
Berdasarkan analisis yang dijalankan, didapati bahawa kursus-kursus yang
dihadiri kurang berkesan memandangkan purata min bagi setiap item adalah
rendah. Item yang dikaji termasuklah masa yang diberikan, jumlah sesi kursus
dijalankan, perkaitan dengan pengajaran, pantauan yang dijalankan selepas
kajian dan keberkesanan dalam meningkatkan kebolehan dan kemahiran penggunaan
teknologi guru.
Melalui kajian, didapati bahawa
kesediaan guru matematik di daerah batang kali dalam penggunaan teknologi dalam
proses PdP masih di tahap yang lemah. Oleh itu, tindakan drastik perlu diambil
oleh pihak kementerian, pihak sekolah dan guru sendiri bagi mengatasi
kekurangan ini agar penggunaan ICT dalam PdP matematik dapat dipertingkatkan.
4.0
Tahap
Penggunaan ICT Oleh Guru Matematik
Dalam kajian yang sama juga, Md.
Nor Bakar dan Rashita A (2011). Hadi telah mengkaji tahap penggunaan ICT dalam
proses PdP bagi guru matematik di daerah yang sama. Dalam kajian ini, didapati
guru matematik jarang menggunakan ICT ketika menjalankan proses PdP. Berdasarkan
analisis yang dijalankan, nilai min bagi setiap item berada pada nilai yang
rendah iaitu bawah 3. Item-item yang kaji termasuklah aktiviti pembentangan
ataupun penghasilan projek, penggunaan perisian latihan atau toturial,
penggunaan perisian aplikasi matematik, penggunaan internet ketika proses PdP
dan pangkalan data.
Penggunaan ICT
dalam PdP matematik bukan sahaja terbukti rendah dalam kajian yang dijalankan
oleh Md. Nor Bakar dan Rashita A. Hadi (2011). Malahan keputusan yang sama
diperolehi oleh Noor Azlan Ahmad
Zanzali dan Noraziah Kassim (2010) yang menjalankan kajian ke atas lima orang
guru pelatih UTM. Berdasarkan pemerhatian dan temubual yang
telah dilakukan oleh pengkaji, didapati bahawa guru-guru pelatih UTM tidak
gemar menggunakan ICT dalam proses PdP bagi matapelajaran matematik. Menurut guru-guru
pelatih tersebut, terdapat banyak masalah dan kekangan yang dihadapi untuk
menggunakan ICT dalam proses PdP.
Namun kajian
yang dijalankan oleh Abdul Razak Idris dan Daniel Chan (2010) menunjukkan
keputusan yang berbeza. Dalam kajian ini, Abdul Razak Idris dan Daniel Chan
mengkaji persepsi guru terhadap ICT, pengetahuan guru tentang ICT dan tahap
penggunaan ICT guru. Bagi aspek persepsi guru terhadap penggunaan ICT, kajian
menunjukkan guru mempunyai persepsi yang baik terhadap penggunaan ICT dalam
pengajaran mereka. Mereka berpendapat bahawa penggunaan ICT memudahkan mereka
dan mereka yakin untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka. Selain itu,
mereka juga bersetuju bahawa penggunaan ICT dapat menarik minat pelajar.
Manakala bagi pengetahuan guru tentang ICT, dapatan kajian ini menunjukkan
bahawa mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menggunakan ICT dan mereka juga
berminat untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai penggunaan ICT. Namun
begitu masih terdapat segelintir guru yang ragu-ragu untuk menggunakan ICT
dalam pengajaran mereka. Akhir sekali, kira-kira 90 peratus guru yang dijadikan
responden menggunakan perisian yang telah dibekalkan oleh kementerian.
Guru-guru ini juga menunjukkan minat yang tinggi untuk menggunakan ICT dalam
pengajaran mereka.
Berdasarkan
kajian yang telah dibincangkan, didapati bahawa terdapat guru matematik yang
tidak berminat untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka dan terdapat juga
guru yang berminat untuk menggunakan ICT dalam pengajaran. Situasi ini mungkin
disumbangkan oleh faktor dalaman guru sendiri dan juga faktor persekitaran.
5.0
Kekangan-Kekangan
Yang Dihadapi Oleh Guru
Berdasarkan
beberapa kajian yang telah diteliti, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi
oleh guru dalam menggunakan ICT dalam proses PdP. Antaranya adalah kajian yang
telah dijalankan oleh Noor Mazlan Ahmad Zanzali dan Noraziah Kassim (2010).
Dalam kajian tersebut, guru-guru pelatih yang dijadikan responden menyatakan mereka
menghadapi dua masalah utama dalam menggunakan ICT dalam pengajaran mereka.
Masalah pertama adalah dari aspek masa. Mereka menyatakan bahawa banyak masa
dibazirkan untuk menunggu pelajar bergerak ke makmal dan kadang-kala persediaan
peralatan dan perkakas mengambil masa yang lama. Selain itu, mereka juga
menghadapi masalah dalam aspek kemudahan. Masalah kemudahan ini terjadi apabila
peralatan yang diperlukan tiada ataupun rosak. Bilik multimedia yang terhad
juga menjadi satu kekangan kepada guru-guru pelatih ini untuk menggunakan ICT
dalam pengajaran mereka.
Seterusnya, menurut Johari Hassan
dan Siti Norazlina Kamisan (2010) penyebab utama guru tidak menggunakan ICT
dalam pengajaran mereka adalah terdapatnya kekangan masa. Berdasarkan kajian
yang dijalankan, respon yang hampir sama dengan yang dijalankan oleh Noor
Mazlan Ahmad Zanzali dan Noraziah Kassim (2010) diterima. Responden menyatakan
mereka kekurangan masa untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka. Selain
itu, pengkaji juga mendapati bahawa guru jarang menggunakan ICT dalam
pengajaran mereka kerana kemahiran mereka menggunakan ICT berada di tahap yang
rendah. Hal ini berlaku memandangkan guru-guru tersebut tidak mendapat latihan
yang secukupnya. Pengkaji juga mendapati bahawa terdapat segelintir guru tidak
berminat untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka. Hal ini dapat
disimpulkan bahawa guru mempunyai sikap yang negatif terhadap penggunaan ICT
dalam pengajaran. Pada dasarnya, minat dan sikap guru terhadap penggunaan ICT
merupakan kekangan utama dalam mengintegrasikan penggunaan ICT dalam
pengajaran.
No comments:
Post a Comment